Dua Pusar Di Kepala Petanda Anak Nakal? Inilah Rahsia Sebenar Yang Ibu Bapa Belum Tahu

“Ooo.. Patutlah anak kau nakal. Ada dua pusar rupanya!”Begitulah kata-kata menyakitkan yang selalu didengar oleh para ibu apabila berdepan dengan adik-beradik, saudara-mara atau ipar duai. Anak yang ada dua pusar di kepala sering dikaitkan dengan sikap degil, nakal, keras kepala dan tidak mendengar kata. Malangnya, bukan kita yang tentukan pusar anak satu atau dua. Ia adalah anugerah Allah untuk ibu yang bertuah. Oleh sebab itu kita tidak boleh menghakimi kenakalan anak-anak berdasarkan fizikal mereka seperti dua pusar, lesung pipit atau kening bertangkup. Rahsia kejadian alam semuanya terletak di tangan Yang Maha Mencipta.

Ibu kepada anak yang ada dua pusar di kepala,Puan Aminah Hafizah Abu Bakar, telah berkongsi pengalamannya untuk dijadikan panduan buat kita semua.

Benarkah Anak Dua Pusar Panjang Akal & Lasak

Orang tua-tua memang selalu ada petua lama kerana mereka banyak pengalaman dan lebih lama makan asam garam kehidupan. Melalui pengalaman itulah mereka menemukan petua-petua dalam kehidupan seharian. Petua lama masih utuh dipercayai dan diamalkan walaupun zaman kian berubah.

Bukan sahaja setakat petua, orang lama juga kaya dengan pengalaman berdasarkan pemerhatian mata kasar. Maka selalulah kita dengar di kalangan masyarakat orang menyebut istilah ‘pesan orang-orang tua’.

Namun begitu, kita tidak boleh mempercayai semua petua yang didengar secara membuta tuli. Ada yang hanya mitos semata-mata setelah dibuktikan dengan kajian saintifik. Sebagai umat Islam kita harus memeriksa kesahihah fakta sebelum menerima bulat-bulat sesuatu kepercayaan. Sering kita mendengar orang-orang tua berkata anak dua pusar kepala sebagai nakal dan lasak. Entah di mana logiknya, tetapi itulah yang kerap dimomokkan orang sehingga ada para ibu terasa hati.

Hati Tersentuh

Apabila terlihat kepala anakku berpusar dua, terus sahaja orang tua-tua berpesan untuk bersiap sedia dengan ragam anakku itu. Ada yang menyebutnya membesar sebagai budak banyak akal, ada yang melabelnya budak lasak tidak kurang juga mulut laser yang berani melabelnya budak nakal.

Hati ibu mana yang tidak tersentuh apatah lagi anak masih merah. Tetapi aku selalu memujuk hati agar tidak mengambil hati dan berfikiran positif sahaja. Kata-kata orang dibiarkan berlalu seperti angin.

Apabila anakku semakin membesar, dia menunjukkan perwatakan dirinya yang ekstrovert dan aktif. Dia mudah mempamerkan emosinya. Hobinya menyanyi dan aku melihat sewaktu umurnya empat tahun, dia mempunyai keyakinan diri yang baik. Tetapi, adatlah kanak-kanak seusia itu memang banyak ragamnya. Kadangkala telatahnya mencuit hati tapi ada masanya ragamnya juga membuatkan kami hilang sabar.

Satu perkara yang tidak aku setuju ialah meletakkan kesalahan anak berdasarkan tanggapan ciri fizikal dua pusarnya itu. Apabila dia berbuat salah kita segera memarahinya tanpa sempat dia membela diri. Apabila terlibat dalam perbalahan anak-anak, pantas sahaja kita menyalahkan dan menuding jari kepada si dua pusar tadi. Walhal, kita belum selidiki dahulu duduk perkara sebenar. Kita pantas menghakiminya sebagai pesalah.

Lama kelamaan, aku menyedari perkembangan ini sebagai tidak sihat untuk pembentukannya sebagai individu yang berpekerti mulia. Adakah berkepala dua pusar memang benar-benar orang yang nakal?. Pernahkah terlintas di fikiran kita ciri fizikal dua pusar di kepala ini, sama juga seperti lesung pipit dan tahi lalat?

Menilik Rahsia Tahi Lalat

Adakah menilik rahsia tahi lalat tidak sama dengan menilik rahsia ciri fizikal tubuh badan yang lain? Kening bersambung, akan begini, mata selalu berkedip akan begitu? Adakah amalan ini tidak sama dengan menilai peribadi individu melalui zahirnya saja? Lebih parah jika kita mengaitkan dengan mitos dan unsur tahyul yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Tanpa disedari, tanggapan sebegini telah menanamkan stigma di dalam kepala masyarakat di sekeliling anak tadi. Oleh sebab stigma ini telah melekat kuat di kepala, ibu bapa khususnya terdorong memberi layanan tegas dan keras kepada anak kerana tidak mahu dia menjadi nakal.

Setiap gerak-geri anak sentiasa dibayangi oleh dua pusar di kepalanya, maka banyaklah akalnya. ‘Dia dua pusar, maka dia nakal dan lasak’. Secara tidak langsung, ibu bapa telah meletakkan label kepada anaknya. Adakah adil melihat sikap indvidu berdasarkan ciri fizikalnya?

Anak Dua Pusarku Sama Sahaja Seperti Anak Lain

Walaupun anak kita kadangkala membuatkan kita naik angin, kita sebagai ibu bapa perlu mengingat diri bahawa anak kita sama sahaja seperti anak lain . Sikap dan pembawaan karakter anak sebenarnya terbentuk oleh cara kita menjaga dan mendidik anak selain dipengaruhi oleh persekitarannya sepanjang tempoh membesar.

Kata orang tua-tua sebenarnya tidak membantu dalam proses perkembangan anak-anak. Kita sebagai ibu bapa bertanggungjawab untuk mendidiknya supaya menjadi anak yang baik seperti yang diidamkan oleh semua.

Semoga kita semua diberikan kesabaran dan ketabahan dalam melayani dan mengasuh anak-anak.

Sumber : Blog Aminah Hafizah

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*