Lokasi Terakhir Isyarat Telefon Acap Didedahkan Sukarelawan

Misteri kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan yang juga dikenali dengan panggilan mesra Acap kini telah memasuki hari ke 14. Petanda untuk menemuinya masih samar-samar namun ianya tidak mematahkan semangat para sukarelawan untuk terus mencari dan menyelamatkan Acap.

Menurut sukarelawan SAR, Anuar Yahya, dia telah menyertai pasukan mencari sejak dari hari pertama lagi dan dia mengatakan lokasi terakhir insyarat telefon bimbit Acap dikesan dan menjadi tumpuan pencarian sekarang.

Walaupun dalam kelompok yang kecil, misi mencari masih diteruskan melibatkan 15 orang sukarelawan dan tumpuan diberikan di bawah terowong berhampiran menara telekomunikasi.

“Di situlah isyarat telefon bimbit dia dikesan kali terakhir kerana hanya itu saja telco yang paling hampir dengan dia pada jarak 500 meter,” katanya.

Tambah Anuar lagi, operasi SAR ini adalah sukar kerana tiada sebarang petunjuk ditemui.

Dalam pencariannya dari Bukit Batu Putih hingga Bukit Rattih masih tidak menjumpai sebarang klu.

Anuar yang berumur 45 tahun mempunyai pengalaman luas dalam misi pencarian berkongsi peristiwa pelik yang pernah dialaminya bersama rakan ketika pencarian di GUa Kundu.

“Ada bunyi macam orang sedang memanggil tapi susah nak cakap sebab suara tu bukan suara Acap. Suara itu meminta pertolongan tapi bunyinya sekejap saja dan terus hilang. Kami ada ternampak kelibat yang tiba-tiba hilang selepas itu sekitar jam 5 petang,” jelasnya.

Mereka beredar dari kawasan itu. Katanya, “benda mistik seperti itu biasa berlaku kerana memang tempat mereka dan kita kena hormat kawasan mereka.”

Walaupun ramai yang mendakwa Acap ada di lokasi yang disebutkan di media sosial dalam beberapa keping gambar yang tersebar, Anuar mengesahkan dia telah mencari di kawasan tersebut namun tiada sebarang petanda. Ada juga yang mendakwa Acap berada di dalam gua, pokok celah batu dan di bawah pokok besar tetapi tidak ditemui juga di situ.

Dia mengakui alam mistik adalah misteri dan kita tidak boleh berbuat apa-apa. Boleh dikatakan semua tempat telah dicari namun operasi berskala kecil tetap diteruskan.

Beberapa orang uztaz turut bersama dalam misi pencarian di dalam hutan itu yang tertumpu kepada Gua Tumpurung.

Semoga misi pencarian Acap ini akan mendapat sinar petunjuk dan kita doakan agar dia ditemui segera.

Sumber: mStar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*