Papan Tanda Pom Kau Rembat

KELAKUAN pencuri ini sangat menyusahkan orang dan mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya kerana melarikan lampu amaran dan papan tanda di tapak pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Menurut polis, kegiatan suspek berusia 27 tahun terbongkar setelah polis menemui peralatan yang dicuri dalam satu serbuan di sebuah rumah di Jalan Ruby, Sibu, tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, mengesahkan lelaki terbabit dan memaklumkan siasatan lanjut dijalankan.

“Suspek menunjukkan sendiri lokasi barang yang dicuri berkenaan yang disembunyikan di belakang kediamannya.

“Barang-barang yang ditemui antaranya tiga keping papan tanda (penunjuk arah) dan lapan unit lampu amanran jalan, satu unit pam air serta dua gulung wayar alat pengimpal,” katanya.

Beliau memberitahu, barang berupa telefon bimbit sebanyak lapan unit juga turut ditemui dan dipercayai dicuri dari kedai di bandar ini.

“Kesemua barangan itu disimpan di dalam bilik tidur di lokasi serbuan. Turut ditemui barangan lain seperti televisyen, satu kamera litar tertutup (CCTV) dan komputer riba,” katanya.

Jonathan berkata, dalam serbuan yang sama, polis merampas selaras senapang angin buatan sendiri.

Polis juga sedang giat menburu seorang lagi suspek berusia 29 tahun yang disyaki terbabit dalam kes ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri,” katanya.

Sumber: harian metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*