7 Penjagaan Bateri Telefon Android Agar Tahan Lebih Lama

Samsung Galaxy A04s

Kuasa bateri telefon Android yang tahan lama banyak membantu di dalam urusan harian. Anda tidak perlu mengecas telefon dan menunggu sehingga kuasa bateri penuh untuk digunakan. Kesibukan dalam melakukan urusan harian, menghadkan masa untuk anda mengecas telefon. Tambahan pula apabila anda perlu bergerak ke banyak tempat. Oleh itu, di sini kami kongsikan tips untuk memastikan kuasa bateri telefon Android anda boleh bertahan lebih lama dan membantu dalam urusan seharian.

Hidupkan mod penjimatan kuasa (Power Saving Mode)

Mod Penjimatan Kuasa ialah ciri yang tersedia pada semua peranti Android yang bertujuan untuk mengehadkan penggunaan kuasa, supaya bateri anda tahan lebih lama sehingga anda dapat mengecasnya semula. Apabila dihidupkan, ciri ini boleh menambah satu atau dua jam lagi kepada ketahanan bateri anda. Ini mungkin cukup untuk pulang ke rumah atau ke pejabat, di mana anda boleh mengecas telefon pintar atau tablet anda sekali lagi.

Anda boleh menghidupkan mod penjimatan kuasa (Power Saving Mode) apabila telefon anda hampir kehabisan bateri dan ketika itu anda tidak dapat mengecas telefon anda. Anda juga boleh menghidupkan mod ini ketika anda berada dalam perjalanan yang jauh, dan anda tahu bahawa anda susah untuk mengecas telefon anda.

 

Hidupkan mod pesawat (Airplane Mode)

Telefon pintar, telefon bimbit dan kebanyakan peranti mudah alih lain dilengkapi dengan tetapan yang dipanggil Mod Pesawat. Ia direka untuk mematikan semua sambungan Bluetooth, Wi-Fi, selular dan data pada telefon anda. Semua sambungan ini boleh mengganggu pelbagai sensor dan peralatan yang terdapat pada kapal terbang komersial.

Jika anda pernah meletakkan telefon pintar anda di sebelah pembesar suara dan mendengar bunyi dengung yang kuat atau bunyi gangguan aneh yang lain, maka anda akan faham mengapa Mod Pesawat wujud.

Menghantar dan menerima isyarat tanpa wayar boleh meningkatkan penggunaan tenaga bateri telefon anda, jadi pertimbangkan untuk menghidupkan mod Pesawat apabila anda tidak perlu menggunakan data rangkaian anda.

 

Kurangkan kecerahan skrin

Kebanyakan skrin telefon adalah besar dan mempunyai pencahayaan yang terang. Skrin seperti ini memerlukan penggunaan tenaga bateri yang tinggi. Jadi, ia mempercepatkan telefon anda kehabisan bateri apabila dibuka dengan kerap atau dibuka dalam jangka masa yang lama.

Anda boleh kurangkan penggunaan tenaga bateri dengan mengurangkan kecerahan skrin telefon. Anda mungkin tidak memerlukan telefon anda dipaparkan ke tetapan yang paling terang. Anda boleh sahaja mengurangkan kecerahan skrin mengikut kesesuaian anda.

 

Matikan sistem pendengaran aktif (Active Listening)

Jika anda mengaktifkan sistem pendengaran aktif, telefon anda akan sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk mendengar suara anda. Keadaan ini akan mempercepatkan telefon anda kehabisan kuasa bateri.

Anda mungkin merasakan yang sistem ini memudahkan, tetapi kosnya lebih besar daripada yang sepatutnya. Sama ada Google Assistant atau Samsung Bixby, anda boleh mematikan sistem ini dan menjimatkan penggunaan tenaga bateri.

 

Cuba paparan mod gelap (Dark Mode Display)

Paparan mod gelap bagus pada mata, tetapi ia tidak memberi kesan kepada penjimatan bateri melainkan telefon anda mempunyai paparan OLED atau AMOLED. OLED ialah teknologi yang menggunakan LED di mana cahaya dihasilkan oleh molekul organik. AMOLED, seterusnya, menambah baik teknologi OLED dengan memperkenalkan lapisan Transistor Filem Nipis (TFT) yang membolehkan kawalan yang lebih besar ke atas cahaya yang dipancarkan oleh OLED.

Kebanyakan model telefon keluaran terdahulu menggunakan skrin LCD. Jadi, tips ini mungkin tidak memberi manfaat kepada pengguna model telefon tersebut. Model telefon terbaru menggunakan paparan OLED atau AMOLED, ini bermakna telefon benar-benar mematikan piksel yang memaparkan warna hitam, jadi anda menjimatkan sedikit bateri apabila semua panel putih terang itu bertukar menjadi gelap. Menurut iFixit, anda boleh menjimatkan sehingga satu jam hayat bateri dengan menghidupkan mod gelap.

 

Kawal aplikasi telefon anda

Banyak aplikasi yang terus bergerak di dalam sistem telefon walaupun anda tidak menggunakannya. Ini, sudah tentu akan memakan data dan kuasa bateri dari semasa ke semasa. Anda boleh sahaja menetapkan aplikasi yang tidak digunakan untuk berada dalam keadaan tidur di bawah Pengurusan Kuasa Bateri atau Aplikasi.

Perlu diingat bahawa aplikasi yang berada dalam keadaan tidur hanya akan menerima kemas kini sekali-sekala dan ia tidak akan berfungsi melainkan ia sedang digunakan. Jadi kemas kini mungkin ditangguhkan.

Adalah lebih baik untuk anda menyemak secara berkala, aplikasi yang cepat menghabiskan kuasa bateri. Anda boleh lihat sama ada terdapat sebarang penyimpangan yang boleh anda padam atau lumpuhkan.

 

Kurangkan masa yang diambil untuk bertukar ke mod Nyah Aktif (Sleep Mode)

Setiap kali anda mengaktifkan skrin telefon, ia akan kekal aktif untuk satu tempoh yang telah ditetapkan sebelum berubah ke nyah aktif.Dalam keadaan begini, penggunaan tenaga bateri masih terus berlaku, walaupun anda telah menyelesaikan apa sahaja yang anda mahu lakukan pada telefon anda. Untuk itu, anda perlu mengubah kepada masa yang lebih pendek untuk bertukar ke nyah aktif sekiranya telefon anda tidak digunakan. Semakin pendek anda menetapkan masa untuk bertukar ke nyah aktif, semakin kurang penggunaan tenaga bateri.

Samsung Galaxy A23 5G

Kesimpulan bagi Tips Pastikan Kuasa Bateri Telefon Android Tahan Lebih Lama

Dengan mengaplikasikan tips-tips di atas, anda boleh mengurangkan penggunaan kuasa bateri telefon Android anda. Dalam masa yang sama, ia dapat memastikan kuasa bateri telefon anda boleh bertahan lebih lama. Bateri telefon yang boleh bertahan lebih lama, banyak membantu dalam urusan seharian anda.

SecawanKopi.com

Secawan Kopi adalah blog tentang gajet dan teknologi terkini.

 

 

All Right Reserved 2022 by Secawan Kopi.